Wednesday, January 9, 2013

Kampung di Larut tiada jambatan!


LARUT: PAS Kawasan Larut yang diketuai Ketua Penerangannya,Ustaz Akmal Kamaruddin dan mantan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang juga calon PAS di Parlimen Larut, Datuk Fauzi Shaari meneruskan misi menyantuni masyarakat di sekitar Kampung Ulu Damak yang terletak dalam Dun Selama baru-baru ini.


Akmal menjelaskan, dalam program tersebut pihaknya telah mengunjungi 20 buah rumah penduduk di kampung tersebut dan kesempatan itu digunakan untuk menghulurkan sumbangan kepada beberapa orang penduduk yang kurang berkemampuan.

Di awal kunjungan  ke kampung itu, Akmal berkata pihaknya mendapati kampung tersebut yang terletak di seberang sungai tidak mempunyai jambatan sebagai laluan penghubung menyebabkan beliau dan rombongan terpaksa meranduk air sungai untuk ke seberang. (Gambar)

Kegagalan kerajaan menyediakan prasarana yang lengkap seperti jambatan sebagai laluan kemudahan kepada penduduk-penduduk di situ mengundang kekesalan pihaknya.

“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku, dalam tempoh 55 tahun negara kita merdeka, kenapa masih ada rakyat yang ketinggalan daripada menikmati arus pembangunan?” soal Akmal.

Seterusnya, rombongan PAS kawasan yang diketuai Akmal dan Fauzi turut berkunjung ke Kampung Bukit Torak untuk sesi beramah mesra dan santai bersama pemuda-pemuda PAS di cawangan itu sebelum melakukan kunjungan ke atas Ketua PAS Cawangan Sungai Bayor, Ahmad Zanian Mad Shuhor di kediamannya.

0 comments:

Advertise