Thursday, January 10, 2013

Fauzi Muda diarah bayar RM100 ribu kepada Norazli Musa



IPOH: Mahkamah Seksyen Ipoh hari ini mengarahkan Bekas Ketua Penerangan PKR Perak, Fauzi Muda membayar ganti rugi sebanyak RM100 000 berhubung fitnah beliau terhadap Ketua Penerangan Dewan Ulama’ PAS Perak, Ustaz Norazli Musa.

Hakim, Roslan Abu Bakar memutuskan, Fauzi didapati bersalah dalam kenyataannya di akhbar pro Umno, Utusan Malaysia pada 3 tahun lalu yang menuduh Norazli menjadi jutawan segera semasa pemerintahan Pakatan Rakyat Perak selama 11 bulan dulu.

Norazli juga telah dituduh membina rumah bangso besar bernilai RM500 000 semasa pemerintahan 11 bulan Pakatan Rakyat sebelum dirampas oleh BN.

Hakim turut memerintahkan Bekas Ketua Cabang PKR Ipoh Barat itu memohon maaf secara terbuka di Utusan Malaysia sebanyak tiga kali dalam tempoh seminggu dan membayar kos guaman sebanyak RM10 000.

Norazli ketika ditemui selepas keputusan tersebut berkata, beliau sangat bersyukur dengan kemenangannya itu dan menyifatkan ia adalah kemenangan Pakatan Rakyat.

 “Saya bersyukur kepada Allah atas keputusan tersebut dan ini adalah tanda-tanda kemenangan Pakatan Rakyat khususnya di Perak,” katanya yang ternyata gembira dengan keputusan tersebut.

Norazli yang diwakili peguam PAS Perak, Aminuddin Zulkaple menjelaskan, beliau turut menyaman Utusan Malaysia namun akhbar tersebut membuat keputusan menyelesaikan di luar mahkamah dan telah memberikan ganti rugi kepadanya.

Kata beliau, wang ganti rugi tersebut akan menjadi dana Pakatan Rakyat khususnya PAS dalam menghadapi PRU13 yang akan menjelma tidak lama lagi.

Hadir sama ialah AJK PAS Pusat, Dr Muhaimin Sulam dan pimpinan serta penyokong Pakatan Rakyat untuk memerikan sokongan.

0 comments:

Advertise