Wednesday, January 23, 2013

Di Negeri Perak: 40 tahun hidup tanpa elektrik!


40 tahun hidup tanpa elektrik
TELUK  INTAN - Seorang warga emas bukan sahaja tinggal di dalam sebuah rumah usang di Kampung Belakang Kilang Padi, di sini, malah tidak pernah menikmati cahaya lampu elektrik sejak 40 tahun lalu.

Kehidupan yang dirasai warga emas, Steh Abdullah, 66, turut dikongsi dua anaknya berusia 23 dan 33 tahun yang tinggal bersamanya.

Steh berkata, kadangkala mereka terpaksa meminjam generator milik seorang rakan anaknya untuk mendapat bekalan elektrik namun, akan dipulangkan apabila pemiliknya ingin menggunakan alat itu.

Menurutnya, baru-baru ini anaknya dengan bantuan Pengerusi Wanita Bestari Teluk Intan, Alen Rus Ihsan, memohon bekalan elektrik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Namun pihak berkenaan meletakkan pelbagai syarat antaranya perlu kebenaran tuan tanah.

"Sebaik sahaja menerima surat kebenaran itu, anak saya menghantar surat kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta TNB namun pelbagai syarat diletakkan," katanya kepada Sinar Harian.

Kata Steh,  antaranya syarat berkenaan, mereka perlu membayar sejumlah wang untuk membolehkan kontraktor melakukan kerja pendawaian di dalam rumah.

Jelasnya, bayaran yang dikenakan untuk kerja pendawaian menjangkau RM5,000 dan jumlah itu agak mustahil untuk disediakan.

Alen Rus pula berkata, agak sukar untuk keluarga Steh menyediakan bayaran berkenaan kerana kedua-dua anaknya bekerja sebagai nelayan dan pembantu sistem siaraya sementara warga emas itu pula sudah uzur.

"Pendapatan yang diterima mereka setakat cukup makan sahaja, jadi saya berharap ada pihak yang prihatin dapat menyalurkan bantuan ihsan kepada keluarga ini," katanya.

0 comments:

Advertise