Sunday, November 4, 2012

Tiada jalan, lampu sejak merdeka

BATU GAJAH: Penduduk RPA Kampung Bemban, Batu Gajah kecewa dengan kerajaan kerana meminggirkan mereka sejak daripada Merdeka lagi.
 
Adun Tronoh, V Sivakumar berkata, penduduk sering membuat aduan bahawa mereka terpaksa tinggal di rumah kediaman yang tidak mempunyai kemudahan asas seperti jalan tar di hadapan rumah. 
 
“RPA Bemban wujud lebih daripada 50 tahun, tetapi sehingga hari ini tidak ada jalan tar di hadapan rumah mereka,” katanya.
 
Menurutnya, penduduk kampung tidak pernah didatangi oleh pemimpin-pemimpin BN untuk menyelesaikan masalah tersebut.
 
Bekas Speaker Dun Perak itu berkata, penduduk sudah bosan mengadu perkara ini kepada pihak berkuasa dan pemimpin-pemimpin tempatan.
 
“Selain daripada jalan tar, kawasan RPA Bemban juga tidak mempunyai lampu jalan.
 
“Ini menyebabkan kawasan itu amat gelap pada waktu malam. Perkara ini juga tidak diberi perhatian oleh mana-mana pihak selama ini.
 
“Penduduk RPA Bemban risau tentang keselamatan di kawasan itu, mereka merayu kepada pihak kerajaan untuk membantu memasang lampu jalan untuk keselamatan dan kebaikan semua,” jelas beliau
 
 
Sivakumar berkata, beliau akan membawa perkara ini kepada perhatian Pejabat Pembanguan Luar Bandar  Batu Gajah dengan segera.
 
Beliau berjanji bahawa Pakatan Rakyat akan menyelesaikan masalah ini jika diberi mandate untuk memerintah selepas PRU13 nanti.

0 comments:

Advertise