Mohd 
Zainudin
IPOH - Kerajaan Negeri tidak seharusnya mendedahkan penemuan lubuk emas kepada umum sebelum kajian Jabatan Mineral dan Geosains selesai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lubuk Merbau, Mohd Zainudin Mohd Yusof berkata, perkara yang belum diketahui kesahihannya itu bakal memberikan harapan palsu kepada rakyat jika mineral berkenaan tidak wujud.

“Kita tidak nafikan ia sangat baik jika benar-benar mineral itu wujud kerana secara langsung menambah pendapatan negeri.

“Paling penting, sumber itu perlu dikongsi bersama rakyat secara adil,” katanya.

Katanya, beberapa perkara lain juga perlu dikaji seperti royalti, undang-undang berkaitan perlombongan dan sebagainya supaya tidak berlaku monopoli pihak tertentu.

Mohd Zainudin yang pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri semasa pemerintahan Pakatan Rakyat berkata, sumber berkenaan perlu diurus dengan cerdik supaya pendapatan dapat masuk ke kantung Kerajaan Negeri.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga perlu mengambil kira jumlah mineral berkenaan sebelum operasi mendapatkannya dibuat.

“Kita perlu melihat dari banyak sudut. Ada kalanya kos operasi lebih besar daripada bahan galian yang diperoleh.

“Jadi, jika berlaku sedemikian, sudah tentulah ia tidak berbaloi untuk dilaksanakan,” katanya.

Katanya, kajian mengenai nilai komersial penting sebelum kerja-kerja pencarian dibuat supaya tidak mendatangkan kerugian kepada Kerajaan Negeri. Sinar Harian