Thursday, November 15, 2012

KAJIAN – HUJAH KELANTAN BERHAK LAKSANA HUDUD BERDASARKAN SPESIFIKASI SYARIAH

Oleh Nuruddin Bashah

1.       Justifikasi kajian hujah ini dibuat;
  1. PAS kelihatan membawa imej hudud malah istilah hudud cukup popular dengan dasar kempen PAS pada sekitar tahun 1980an hingga UMNO Cuba memalitkan tomahan bahawa PAS tiada tawaran lain selain Hudud.
  2. Pembawaan manifesto dan kempen Negara Berkebajikan tidak difahami oleh rakyat sebagai pakej lengkep Islam selain hudud sebagai salah satu elemen penting dalam pensyariatan jenayah dalam hukum Islam.
  3. PAS dianggap penghukum dan hanya tahu menghukum kerana aktiviti kebajikan, pendidikan, ekonomi dan pembaikan akhlak PAS tidak dipopularkan malah mengalami ‘distortion’ berikutan kempen UMNO yang mahu masyarakat menilai PAS dengan labelan perjuangan hudud sahaja.
  4. PAS dianggap gopoh mungkion segelintir pihak intelegensia yang berhujah pembinaan hukum jenayah adalah pemilihan terakhir selepas sempurna pembinaan sesebuah sistem negara Islam.
  5. PAS dianggap tidak mengikuti fasa pembinaan Hudud dan dianggap ‘by pass’ terus kepada perlaksanaan hukum tanpa ada pembawaan sistem Islam yang holistik.
Penulis menamakan segala fakta di atas sebagai syubhah yang terpalit pada PAS  sepanjang proses propaganda dan jawab silang tomahan oleh pimpinan PAS sehingga musuh berjaya membina paradigma bahawa Hudud PAS bukan hudud Islam kerana PAS ditomah  tidak mengikuti fasa perlaksanaan yang tepat. Walhal kelulusan enakmen Hudud di kelantan dan Terengganu dilakukan selepas pihak kerajaan negeri menilai kondisi dalaman, keupayaan, serta perleksanaan seberapa banyak asas-asas pembinaan masyarakat Islam sebelum ingin melaksanakan Hudud.
Sebuah Batu Bersurat tulisan jawi di Kampung Buluh Kuala Berang bertarikh 22 Feb 1303 bersamaan 4 rejab 702 h, ‘orang berbuat bala cara laki-laki perempuan satitah Dewata maha raya jika merdehika bujang palu 100 rotan jika merdihika beristeri atau perempuan bersuami ditanam hinggakan pinggang di hambalang dengan batu manikan’[1]
2.       Hujah Dr Asri
a)      Tidak boleh mempertikaikan hukum Allah, tetapi boleh mempertikaikan cara perlaksanaan dan penafsiran hukum berkenaan oleh manusia.
b)      Contoh:  kita tidak boleh mempertikaikan syariat haji, tetapi kita boleh mempertikaikan amalan haji individu tertentu jika ia tidak bertepatan. Kita tidak boleh mempertikaikan sistem muamalat al-Quran dan Sunnah, tetapi kita boleh mempertikaikan bank, pajak gadai, syarikat, koperasi dll yang menggunakan nama Islam dalam operasi mereka jika kita dapati ia tidak menepati semangat Islam yang sebenar.
c)       Tujuannya hendaklah untuk memelihara nama Islam agar tidak disalahgunakan atau disalahfahami[2].
d)      Ramai orang salah sangka apabila membayangkan negara yang dipimpin berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah itu sebagai negara yang agenda utamanya mengintip dan menghukum rakyat yang tidak mematuhi syariat.
e)      Aktiviti tajassus dalam perlaksanaan hudud adalah ditegah oleh syarak[3].
f)       Gambaran negara yang islamik sebagai negara yang sibuk mencari pesalah untuk dihukum dengan undang-undang hudud adalah gambaran yang silap.
g)       Hudud hanya makanisme untuk mengatasi jenayah-jenayah tertentu, bukan gambaran keseluruhan negara Islam, bahkan bukan hudud juga undang-undang yang merangkumi semua jenayah.
h)      Banyak lagi jenayah yang tidak tersenarai di bawah hudud. Peratusan besar jenayah yang pelbagai, terutama di zaman ini berada di bawah takzir[4]
i)        Usaha menggambarkan negara Islam atau design negara yang mendaulat Islam sebagai negara hudud adalah gambaran yang tidak tepat. Pihak musuh berniat buruk. Hudud bukan asas kenegaraan dalam Islam. Hudud adalah hukum Islam yang menjadi makanisme dalam mencegah jenayah. Asas kenegaraan dalam Islam menegakkan keadilan dan maslahatan negara berasas prinsip-prinsip al-Quran dan as-Sunnah.
3.       Kesimpulan seminar Persatuan Ulama’ Pulau Pinang.
a)      PUM P.Pinang telah menganjurkan Forum Bersama Ulama' - Hukum Hudud:Konsep Dan Penghayatan bersama barisan panel  Dr. Wan Salim bin Wan Mohd. Noor (YDP PUMPP),  Dato' Haji Salleh bin Ahmad (Ahli Majlis Fatwa P. Pinang) dan En. Munir Faeed (Peguam Syar'ie) pada 24 Okt. 2012 (Rabu) di Masjid At-Taqwa, Taman Bertam Indah, Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.
b)      PUM menyokong dan membela hukum Allah ini secara total.
c)       PUM mengingatkan bahawa Hudud bukan satu-satunya langkah penyelesaian dan tidak menjadikan Hudud sebagai slogan indah tanpa usaha memartabatkan syariat secara total.
4.       Pandangan dan Fatwa Prof. Yusuf Al Qaradhawi
a)      Yusuf al-Qaradhawi, pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia tentang 'Hudud Dalam Wacana Feqh Masa Kini' yang disiarkan oleh setesen satelit, al-Jazeera, telah memberikan garis panduan asas berkenaan kaedah perlaksanaan hukum tersebut dalam masyarakat.
b)      Sebelum Nabi SAW melaksanakan hukum hudud, Baginda terlebih dahulu menegakkan Islam secara keseluruhannya, yakni menegakkan kehidupan Islam’.
c)       Jelas tersurat, fakta ini bermakna, perlaksanaan hukum hudud adalah peringkat atau ‘projek’ terakhir dalam agenda perlaksanaan Islam.
d)      Dalam buku Masyarakat Islam yang Unggul (Malamih Al Majtama’ Al Muslim) Al Qaradhawi menegaskan bahawa Hudud itu pagar iaitu suatu deklerasi bahawa kerajaan menentang jenayah habis-habisan bukan bertujuan mencari-cari kesalahan rakyat. Memaafkan dan merahsiakan jenayah Hud adalah digalakkan. Beliau juga menegaskan masyarakat Islam tidak ditegakkan semata-mata berdasarkan perundangan jenayah sahaja. Melaksanakan perundangan Islam juga membuktikan ketulenan dan kejatian umat Islam.
e)      Tetapi beliau tidak menafikan wajibnya kita menyediakan fasa tadarruj untuk memastikan hukum islam dilaksana juga akhirnya. (Madkhal Li Dirasah al-Syariah al-Islamiyyah (1993), cet. pertama, Beirut : Muassasah al-Risalah, ms.249) : Terjemahan : "Sesungguhnya, [satu kemestian] atas kita-agar perundangan Islam berjaya [berperanan] dalam kehidupan kita masa kini-menyediakan individu muslim yang meyakini keadilan perundangan ini berhukum dengannya dengan redha dan sepenuh hati. [Juga menyediakan] hakim muslim yang meyakini kesucian perundangan ini dan tidak mempermain-mainkan nas-nasnya…[dan satu kemestian ke atas kita menyediakan] kuasa eksekutif Islam yang memelihara perundangan ini dan melaksanakannya tanpa pilih kasih, mengampu dan gentar
5.       Hujah Mufti Mesir
a)      Hukum hudud adalah sempurna dan lengkap. Cuma suasana semasa tidak memiliki syarat yang ditetapkan yang membolehkan ia dilaksanakan. Tidak kondusif.
b)      Hujah beliau : Dalam karyanya, Nisywarul Muhadharah, al-Qadhi al-Tanukhi (356-446 Hijrah) ada memperkatakan tentang realiti manusia di zaman beliau dan zaman sebelumnya. Beliau mencatatkan dalam karyanya itu, “sesungguhnya hakim [pada zaman sebelum ini], ketika memasuki sesuatu tempat atau kampung, dia [boleh] menemui 40 orang saksi yang kita perakui [kewibawaan mereka] dari segi ‘adalah (sifat adil) dan ketepatan (accuracy). [Tapi] sekarang, [iaitu pada zaman beliau] seseorang hakim, apabila memasuki sesebuah negeri, dia tidak [dapat] menemui melainkan seorang atau dua orang [yang layak menjadi] saksi”.
6.       Jawapan Ketua Pemuda PAS Malaysia
 “ Salam, benar hudud bukan satu-satunya penyelesaian. Bahkan ia satu penyelesaian yang datang dalam satu pakej syariat yang lengkap dann syumul. Kita pun tidak pernah menyebut hudud satu-satunya penyelesaian. Kita juga tidak hanya memperjuangkan hudud semata-mata. Sebab itu dalam perlembagaan PAS tidak menyebut perkataan hudud tetapi disebut sebagai (perjuangan menegak) Al Quran dan Sunnah yang menjadi panduan kepada seluruh agenda PAS. Rujuk perlembagaan Fasal 5(1) dan fasal 7(1). Hudud hanya undang-undang dalam aspek jenayah. Hanya melibatkan jenayah zina, curi, arak, murtad dan rompak. Namun ia suatu alternatif  yang muktamad kepada kegagalan undang-undang ciptaan manusia. Ia juga perlu dilaksanakan sungguhpun aspeknya kecil. Sama seperti tayamum. Hanya ada 2 ayat tayamum dalam Al Quran. Namun ia wajib dilaksanakan sebagai alternatif apabila ketiadaan air atau anggota wudhuk uzur dan terhalang untuk sampai air. Menolak dan menafikannya tetap merosak dan menggugurkan iman. Walaupun nisbah yang kecil berbanding keseluruhan Alquran. Sebagaimana ia juga wajib ditegakkan sekalipun ia bukanlah satu-satunya penyelesaian dalam Islam. Persoalannya kita mesti melihat spesifik kes. Kalau kita nak cari penyelesaian dalam kes jenayah seperti zina, buang bayi, rompak samun dan seumpamanya, maka hududlah penyelesaiannya kerana yang berzian bukan tak tahu hukumnya haram yang mencuri bukan tak tahu ianya salah dan haram. Maka dalam kes ini bukan pengajian ilmupenyelesaian sebab mereka sudah tahu sudah ada ilmu, penyelesaiannya pada undang-undang. Kerana mereka gagal hidup dengan ilmu mereka. Undang-undang perlu mendidik mereka. Kalau masalah timbul dalam kes rumahtangga seperti bercerai makapenyelesaiannya ppada munakahat. Begitulah seterusnya. Justeru islam merangkumi ibadat, munakahat, muamalat dan jenayat. Berjuang untuk undang-undang sahaja menjadikan kita sempit. Perjuangan kita syumul untuk tegakkan keseluruhan sistem hidup islam. Rujuk usul pertama dalam Rukum Baiah Al Fahmu Imam Hassan Al Banna.[5]
7.       Huraian dan kupasan jawapan Ketua Pemuda
a.      Tidak pernah menyebut hudud satu-satunya penyelesaian juga tidak hanya memperjuangkan hudud semata-mata.
                                                   i.      Tiada bukti PAS hanya melaungkan kempen Hudud sebagai perjuangan mutlak (ultimate) dalam pilihanraya.
                                                 ii.      Syaikh Abdul Wahab Khalaf umpamanya, membahagikan hukum hakam yang dinyatakan al-Quran kepada tiga kategori induk, iaitu Hukum Hakam Akidah, Hukum Hakam Akhlak dan Hukum Hakam Amali. Iaitu hukum hakam berkaitan perbuatan manusia.
                                                iii.      Hukum Hakam Amali ini pula terbahagi kepada dua bahagian yang besar, iaitu Hukum Hakam Ibadat dan Hukum Hakam Muamalat (transaksi).
                                               iv.      Hukum hakam Muamalat pula dipecahkan kepada 7 bahagian, iaitu Hukum Hakam Kekeluargaan, Hukum Hakam Madani (sivil), Hukum Hakam Jenayah (hudud, qisas dan takzir), Hukum Hakam Perundangan, Hukum Hakam Kenegaraan, Hukum Hakam Antarabangsa dan Hukum Hakam Ekonomi[6].
                                                 v.      Pembahagian ini memperlihatkan dengan jelas kedudukan hukum hudud sebagai salah satu juzuk daripada ‘binaan’ hukum hakam Islam yang besar, dan bukannya keseluruhan hukum hakam Islam itu sendiri.
b.      Perlembagaan PAS tidak menyebut perkataan hudud tetapi disebut sebagai (perjuangan menegak) Al Quran dan Sunnah yang menjadi panduan kepada seluruh agenda PAS. Perlembagaan Fasal 5(1) dan fasal 7(1).
Fasal 5. Tujuan PAS ialah:
(1) Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya bilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.
(2) Mempertahankan Kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.
Fasal 7. Hukum dan Kekuasaan
(1) Adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah KITABULLAH dan SUNNAH RASUL serta IJMAK 'ULAMAK dan QIAS yang terang dan nyata, dengan tertakluk kepada hukum yang tertinggi itu, kekuasaan PAS adalah dipegang oleh Muktamar Tahunan.
c.       (Hudud) Perlu dilaksanakan sungguhpun aspeknya kecil umpama hukum tayamum.
                                                   i.      Maksud melaksana hudud adalah dipersiapkan peralatan, enakmen, persiapan mahkamah dan segala keperluan, bukan bersiap sedia hendak menghukum, mencari salah rakyat.
                                                 ii.      PAS ingin melaksana hudud bermaksud bersiap kearah menyediakan unsang-undang itu adapun jika kes syubhah atau samar, ia digugur menjadi takzir. Formula ini mudah dan jelas.
                                                iii.      Mempersiap mahkamah bukan bermakna PAS segera ingin menghukum manusia.
d.      Berjuang untuk undang-undang sahaja pasti menjadikan PAS sempit. Perjuangan PAS syumul untuk tegakkan keseluruhan sistem hidup islam.
                                                   i.      Hudud hanya satu juzuk yang sangat kecil dalam Syariat Islam dan diakui sendiri oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi. Beliau pernah mengatakan, hudud hanyalah mewakili 0.001% daripada keseluruhan Syariat Islam.
                                                 ii.      Hukum hudud sebagai salah satu juzuk daripada ‘binaan’ hukum hakam Islam yang besar, dan bukannya keseluruhan hukum hakam Islam itu sendiri[7].
                                                iii.      ‘Saiz’ hudud yang sangat kecil ini juga boleh dilihat melalui nisbah ayat-ayat al-Quran berkenaan hudud (10 ayat), berbanding jumlah keseluruhan ayat-ayat al-Quran (6,236 ayat). Iaitu 10 : 6,236.
8.       Syarat-syarat sesebuah negara laksanakan hudud (bukti perlaksanaan oleh kerajaan Kelantan)
a.       Ekonomi negeri yang diberi titik berat untuk menghasilkan masyarakat yang berdikari dan tidak menjadikan alasan kemiskinan dan kefakiran sebagai punca melakukan jenayah.
                                                   i.      Kelantan bukan negeri paling miskin. Paling miskin adalah Sabah, Terengganu, Perak, Sarawak, Kedah dan barulah Kelantan.
b.      Pendidikan dan pencegahan maksiat bukan sekadar persiapan menghukum.
                                                   i.      Litar lumba khas di tebing Tinggi.
                                                 ii.      Baitul taubah
                                                iii.      Haramkan judi dan jualan arak secara terbuka.
                                               iv.      Iklan menutup aurat
                                                 v.      Pemisahan kaunter lelaki/perempuan
c.       Perlaksanaan syariat Ibadat
                                                   i.      Bulan Sembahyang.
                                                 ii.      Larangan pasar malam beroperasi waktu maghrib.
d.      Perlaksanaan syariat munakahat
                                                   i.      Pernikahan beramai-ramai untuk golongan kurang mampu.
                                                 ii.      Sistem kad pintar nikah-elak fitnah
e.      Perlaksanaan syariat muamalat
                                                   i.      Sistem gadaian Islam Al Rahnu sehingga ditiru oleh BN
                                                 ii.      Perbankan Islam diilhamkan apabila Kelantan membuat tindakan drastik mengeluar akaun daripada bank riba kepada Bank islam.
                                                iii.      Dinar Emas Kelantan ingin dilaksana secara meluas bukan sekadar beli-simpan.
f.        Perlaksanaan syariat pendidikan dan tarbiah
                                                   i.      Kurikulum YIK yang diiktiraf sekolah agama negeri lain.
                                                 ii.      Sukatan STU diiktiraf Al Azhar sehingga mengilhamkan BN membuat STAM
                                                iii.      Tazkirah di jabatan kerajaan.
                                               iv.      Mempopularkan tazkirah terawih sehingga ditiru oleh negeri lain.
g.       Perlaksanaan syariat kebajikan
                                                   i.      Peraturan pembinaan rumah 4 bilik elak ikhtilat dan sumbang mahram
                                                 ii.      Skim rumah Dhuafa’
                                                iii.      Takaful al Kifalah untuk warga emas.
                                               iv.      Ladang rakyat
h.      Memperkasa syiar
                                                   i.      Isytihar Kota Bahru sebagai bandaraya Islam pada 2005.
                                                 ii.      Memula mesyuarat dengan Al Fatihah dan menutup dengan tasbih kifarat.
                                                iii.      Kalimah Allahuakhbar menggantikan istilah Daulat Tuanku suatu kejayaan besar PAS apabila diperkenan oleh Sultan Muhammad V.
9.       Kelantan dan kelayakannya melaksana Hudud.
a.       Menurut Dr Asri[8] :
                                                   i.      Di Kelantan suasana kondusif untuk hudud terikat bukan sahaja dengan persekitaran dalam negeri tetapi juga dengan pentadbiran pusat. Selagi Kelantan tidak mendapat kerjasama Pusat sepenuhnya (dihalang melalui Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa Jenayah) 1965), tidak mungkin suasana kondusif itu dapat diwujudkan.
                                                 ii.      Selepas itu banyak lagi perkaitan lain yang mesti dilangsaikan sebelum dilaksanakan.
                                                iii.      Maka, bukan menjadi kesalahan Kelantan jika beberapa hukuman hudud tidak dilaksanakan disebabkan keterbatasannya. Kelantan telah memainkan peranan mempromosi hukuman itu.
                                               iv.      Walaupun masih terbatas disebabkan banyak kekangan, namun apa yang penting hukuman itu dibahaskan, dibincangkan dan dipromosikan. Ijtihad-ijtihad baru juga perlu dilihat bagi mencapai maksud keadilan jika ia dilaksanakan.
b.      PAS akan melaksanakan hukum hudud melalui proses demokrasi yang sedia ada. Malah telah dimulakan sejak tahun 90-an lagi apabila Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 diperkenalkan dikedua-dua negeri itu.
c.       PAS bukan gila menghukum. Presiden PAS berkata tindakan bertaubat di luar mahkamah adalah lebih digalakkan daripada diheret ke mahkamah[9].
d.      Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Pas melaksanakan beberapa aspek hukum Islam di bawah kuasa Majlis Perbandaran dan Daerah seperti
                                                   i.      menghapuskan lesen premis perjudian serta mengawal penjualan arak bagi rakyat bukan Islam sahaja
                                                 ii.      serta membenarkan perkara yang diizinkan oleh agama masing-masing, termasuk dalam perkara hak penganut agama bukan Islam yang wajib dilindungi. Bagi undang–undang jenayah Syariat, kerajaan negeri menyusun daripada nas al-Quran dan Hadis dan dibentang ke dalam Dun Kelantan.
                                                iii.      Draf cadangannya pula telah terlebih dahulu dibentangkan dalam satu seminar yang diadakan di Hotel Concorde Kuala Lumpur di mana semua parti politik dan NGO Islam dan bukan Islam telah dijemput.
e.      Wacana Perlaksanaan Hudud di Negeri Kelantan 6 Oktober 2011
                                                   i.      Kelantan berhak dan boleh melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (Hudud) 1993.
                                                 ii.      Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Daud Mohamad - undang-undang itu perlu dilaksana segera kerana sudah 20 tahun diluluskan tanpa perlaksanaan. Kelantan perlu segera mewujudkan dua mahkamah iaitu Mahkamah Syariah Khas tiga hakim dan Mahkamah Rayuan Syariah Khas lima hakim.
10.   Halangan kepada perlaksanaan Hudud di Kelantan bukan kerana PAS tidak membina syariat lain sebelum ingin melaksana Hudud tetapi disebabkan oleh beberapa faktor lain seperti:
a.       Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub pula berkata, antara halangan besar untuk melaksanakan undang-undang hudud di negara ini adalah Akta Mahkamah Syariah 1965 yang membataskan bidang kuasa Mahkamah Syariah membicarakan undang-undang jenayah.  (Sinar Harian 25 Ogos 2012)
b.      Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak melaksakan hukum hudud kerana kebimbangan bahawa kerajaan persekutuan akan campur tangan dengan mengisytiharkan darurat untuk merampas pentadbiran kerajaan negeri. Beliau tidak mahu perlembagaan negeri itu digantung sekali lagi seperti yang pernah dilakukan oleh Majlis Gerakan Negara (Mageran) pada sekitar tahun 1969 dahulu. Dr Mahathir (ketika itu perdana menteri) datang ke Kelantan memberi amaran sekiranya (kerajaan) Kelantan laksana hudud, kerajaan pusat akan mengambil tindakan.  (Malaysiakini)
c.       Zainul Rijal Abu Bakar berpandangan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kelantan) 1993 dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Terengganu) 2003 tidak boleh dilaksanakan kerana sebahagian kesalahannya tidak berada di bawah kuasa Dewan Negeri. Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan membahagikan penggubalan undang-undang kepada tiga kategori dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan iaitu Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama. Jenayah disebut di dalam Senarai Persekutuan manakala pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu terletak di bawah Senarai Negeri. Berdasarkan Jadual Kesembilan tersebut mendapati kesalahan hudud seperti mencuri dan merompak berada di bawah Senarai Persekutuan dan jenayah hudud lain seperti zina, qazaf, meminum arak dan murtad pula terletak di bawah kuasa negeri. Kesalahan-kesalahan hudud ini tidak boleh dilaksanakan secara pakej dalam satu undang-undang disebabkan kesalahan tersebut terjatuh dalam kuasa dua badan perundangan yang berbeza[10].
                                                   i.      sekiranya undang-undang di atas dipinda maka kesalahan mencuri dan merompak akan dapat dilaksanakan secara hudud.
                                                 ii.      hukuman kesalahan tersebut disekat oleh Akta Bidangkuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 yang memperuntukkan Dewan Negeri boleh mengwujudkan mana-mana kesalahan jenayah syariah dan hukumannya hendaklah tidak melebihi tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan. Jika akta ini dimansuhkan empat jenis kesalahan hudud yang terletak di bawah bidangkuasa negeri boleh dilaksanakan.
                                                iii.      Umat Islam seharusnya mencari jalan bagaimana hendak melaksanakan undang-undang Islam. Walaupun mungkin terdapat halangan-halangan tertentu usaha yang mantap perlulah dibuat bagi mengubah atau membuang halangan tersebut demi melaksanakan undang-undang Islam ini.
                                               iv.      Dahulu apabila pihak kerajaan berhasrat untuk melaksanakan perbankan Islam terdapat begitu banyak halangan dan kritikan yang diterima daripada masyarakat Islam dan bukan Islam. Namun bermula dengan tingkap-tingkap perbankan tanpa faedah, kemudiannya dinamakan perbankan Islam kini sistem perbankan Islam bukan sahaja menjadi pilihan umat Islam tetapi juga orang bukan Islam!


[1] Tulisan Prof Tan Sri Datuk Dr Ahmad Ibrahim dimuatkan dalam buku Hudud Tuntutan Umat dan Tanggungjawab Pimpinan Islam terbitan Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan.
[3] Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut:
“Aku ingin agar diberikan perhatian tentang perkara yang penting mengenai hudud; bahawa Islam tidak terkejar-kejar mencari bukti, tidak mengintai untuk melaksanakan hukum ke atas pelaku kesalahan, tidak mencipta alat untuk mencari rahsia pelaku maksiat atau memasang kamera tersembunyi mengambil gambar ketika mereka melakukan jenayah. Tidak pula menguatkuasakan polis pencari jenayah atau perisik untuk mengintip mereka yang menyanggahi syarak sehingga ditanggap yang terbabit. Bahkan kita dapati panduan Islam dalam hal ini tegas setegas-tegasnya dalam memelihara kehormatan peribadi manusia, pengharaman tajassus (mengintip) dan mencari keaiban manusia. Tidak boleh dilakukan oleh individu, tidak juga oleh pihak kerajaan”.

Kemudian beliau mengemukakan dalil riwayat al-Hakim daripada ‘Abd ar-Rahman bin ‘Auf :
Bahawa dia berkawal bersama Umar bin al-Khattab r.ahuma pada suatu malam di Madinah. Ketika mereka sedang berjalan, tiba-tiba ternampak nyalaan api di sebuah rumah. Mereka pun pergi menuju ke situ sehingga apabila hampiri didapati pintunya berkunci, di dalamnya ada sekumpulan orang dengan suara yang kuat.
Lalu Umar r.a. berkata -sambil memegang tangan ‘Abd ar-Rahman-: “Kau tahukah ini rumah siapa?”. Jawab: “Tidak”. Kata Umar: “Ini rumah Rabi’ah bin Umayyah bin Kalaf, mereka sekarang sedang mabuk arak, apa pendapat kau?”. Kata ‘Abd ar-Rahman: “Aku berpendapat kita sekarang telah melakukan apa yang Allah larang, Allah berfirman: “Jangan kamu mengintip”. Kita telah mengintip. Maka Umar pun pergi dan meninggalkan mereka”.
(Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai sahih serta sokong oleh al-Zahabi).
[5] Sekitar jam 3 pagi 26 Oktober 2012 (Pagi Raya Aidil Adha) penulis yang sedang bersiap untuk pulang ke kampong  terfikir suatu persoalan dan memerlukan jawapan yang segera untuk saya jadikan hujah. Penulis hanya teringat kepada Ustaz Nasrudin Tantawi (guru dalam talian)  sahaja untuk diajukan pertanyaan ‘stand’ dan persepsi PAS dan Pemuda PAS Malaysia  berkenaan isu yang ingin diutarakan. SMS  kepada beliau pagi itu berbunyi begini:
Salam ustaz, Al Qaradhawi ada menulis dalam kitabnya Masyarakat Islam Yang unggul bahawa Hudud bukan satu-satunya penyelesaian kepada permasalahan social dan jenayah malah ia ada;ah juzuk daripada perjuangan syariat Islam. Malah Persatuan Ulama’ P.Pinang juga telah menganjurkan Seminar dan wacana berkenaan Hudud dan bersetuju Hudud adalah wajib tetapi bukan satau-satunya penyelesaian. Jadi apa pandangan PAS berkenaan persepsi umum yang mungkin menganggap PAS hanya membawa matlamat hudud seolah-oleh tiada  pakej lain. Kita (PAS) kaffah (berjuang secara holistik ) tetapi imej dan pembawaan mungkin perlu upgrade…Apa pandangan ustaz?...”  Beliau  menjawab SMS dan diterima sekitar jam 7.51 pagi raya.
[6] Abdul Wahab Khalaf (1998), Ilmu Usul al-Feqh, Mansurah : Darul Kalimah, ms.34-35
[7] Syaikh Yusuf al-Qaradhawi dalam karyanya, Fi Fiqh al-Awlawiyyat : Dirasah Jadeedah Fi Dhau’i al-Quran Wa al-Sunnah (2000) cet. pertama, Beirut : Muassasah al-Risalah. Beliau mencatatkan (ms. 235) :
Sebahagian daripada kepincangan yang berlaku ialah, kebanyakan aktivis dalam arena Islam, terutamanya orang-orang yang bersemangat dari kalangan mereka, memberikan perhatian yang paling besar kepada apa yang mereka namakan ‘perlaksanaan Syariat Islam’, [dimana] yang mereka maksudkan [dengan Syariat Islam itu ialah] aspek undang-undang Syariat, terutamanya yang berkaitan hukuman iaitu hudud, qisas dan takzir”.
[8] Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin  KELANTAN DAN TANGGUNGJAWAB HUDUD http://drmaza.com/home/?p=1617
[9] Tulisan Presiden PAS dalam Sinar Harian yang disiar semula dalam http://www.ibnuhasyim.com/2012/08/presiden-pas-menulis-hudud-umno.html
[10] http://takmirpenang.blogspot.com/2012/01/persiapan-laksana-hudud.html

0 comments:

Advertise