Wednesday, November 21, 2012

John Carew bakal sertai Seladang

Perak mahu menggunakan khidmat penyerang kelab Liga Perdana Inggeris, West Ham United, John Carew untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.
 U
Pengurus skuad Perak, Khairul Azwan Harun berkata, perbincangan secara serius sedang dijalankan dengan ejen penyerang West Ham itu.

Beliau berharap perbincangan tersebut bakal membuahkan hasil yang menggembirakan.

“Kami masih meneruskan perbincangan mengenai terma-terma tertentu termasuk pembayaran gaji dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) di sini, semalam.

Turut hadir adalah jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah, penolong pengurus, Isham Sharuddin dan Stiausaha Pafa, Abdul Aziz Yeop Jamluddin.

John Carew merupakan penyerang utama Norway yang pernah beraksi dalam 91 perlawanan antarabangsa dengan menjaringkan 24 gol sejak 1998.

Selain West Ham United, Carew pernah bermain dengan Stoke City, Aston Villa, Lyon (Perancis), Besiktas dan Roma (Itali).

Selain Carew, Azwan berkata, Perak turut mengintai beberapa pemain ternama dari Rusia, Brazil, Oman dan Liberia.

“Perak akan memuktamadkan pengambilan dua pemainnya selewat-lewatnya pada 3 Disember ini untuk didaftar dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),” jelas Khairul.

Perak mengejar masa bagi mendapatkan dua pemain import untuk menggantikan Michal Kubala dan Albert Bodjongo.

Skuad Seladang juga akan mendaftar seramai 22 orang pemain tempatan pada 30 November ini.
“Mohd. Azraai sedang membuat penelitian ke atas semua pemain yang sedang menjalani latihan pusat sejak 1 November lalu,” katanya.

Enam pemain import tempatan bersama-sama sepuluh pemain musim lalu serta enam pemain yang dipilih melalui ujian pemilihan sedang menjalani latihan pusat.

Azwan berkata, dua lagi pemain baru dijangka menyertai skuad Seladang dalam tempoh terdekat.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama kedua-dua pemain tersebut.

“Azraai akan mengemukakan senarai muktamad 22 pemain tempatan yang akan didaftarkan pada minggu depan,” tambahnya.

Mengenai hasrat bekas pemain Selangor, Azidan Sarudin kekal di Pahang, Azwan berkata, Perak menghormati keputusan tersebut.

0 comments:

Advertise