BAGAN DATOH - Kehilangan anak tunggal akibat nahas jalan raya meruntun jiwa seorang ibu ditambah tiada penjelasan daripada pihak berkenaan punca kematian anaknya yang juga anggota polis di Balai Polis Kota Marudu, Sabah.
Siti Esah Sungib, 62, dari Kampung Tebok Pangkor, Selekoh, di sini, berkata, anaknya, Lans Koperal Samsul Azwan Meorbah, 34, bertugas di Balai Polis Kota Marudu, meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 8 Jun lalu.
Menurutnya, sehingga kini dia tidak mendapat penjelasan mengenai kematian malah pihak berkenaan memintanya bersabar selain menerima kematian anaknya itu.
“Sebelum ini, saya dimaklumkan oleh menantu Siti Zanariah Zainuddin bahawa anak saya maut dalam satu kemalangan langgar lari ketika dia mahu masuk ke dalam kereta kira-kira jam 9 malam selepas selesai bertugas malam itu.
“Sampai ke saat ini, saya tidak tahu siapa yang melanggar dia dan kenapa kejadian sebegini boleh berlaku. Perkara ini membuatkan saya sekeluarga tertanya-tanya,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, kelmarin.
Menurutnya, arwah Lans Koperal Samsul Azwan meninggal dunia sehari selepas terlibat dalam satu kemalangan langgar lari.
“Saya tak menyangka arwah tidak akan pulang selama-lamanya dan saya tidak sempat melihat jenazah arwah kerana tidak dapat bertolak ke Sabah kerana kesempitan wang ketika itu, namum kami keluarga ke Sabah selepas 40 hari untuk membuat kenduri arwah," katanya.
Sementara itu, Siti Esah berkata, kali terakhir dia berhubung dengan arwah seminggu sebelum kejadian itu akan menjadi kenangan mereka sekeluarga.
"Arwah memberitahu raya kali ini beliau bersama anak-anaknya tidak akan pulang ke kampung untuk berhari raya," katanya.
Ketika diminta menceritakan perihal arwah anaknya, Siti Esah menyatakan, arwah memasuki pasukan PDRM pada tahun 2002 dan mula bertugas di Balai Polis Kota Merudu.
"Pada 2004 dia telah mendirikan rumah tangga. Kini dia meninggalkan seorang balu dan dua anak masing-masing berusia tujuh dan empat tahun," katanya.
Katanya, dia sekeluarga mengharapkan pihak berkenaan menyiasat punca kejadian itu selain tidak lagi menyembunyikan apa-apa maklumat berkaitan kemalangan berkenaan.
Siti Esah bersama suami Hamid Pakir Mohammad sedu melihat gambar arwah yang meninggalkan misteri di atas kematiannya. Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment