Tuesday, September 25, 2012

13 Pemain Utama Digugurkan Dari Skuad Seladang


zainol-pafa
Perak melakukan rombakan besar-besaran bagi menghadapi saingan Liga Super musim 2013 dengan menggugurkan 13 pemain utama musim lalu.


Bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan penyerang berbisa, Muhammad Shafiq Jamal antara 13 pemain yang tidak akan beraksi dengan skuad Seladang musim depan.


Akmal Rizal dan Shafiq gagal mempamerkan persembahan mantap pada musim 2012 yang mana kedua-dua hanya diturunkan sebagai pemain gantian sahaja.


Akmal Rizal menjaringkan lima gol dan Shafiq menyumbatkan dua gol dalam aksi Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia yang lalu.    

Presiden Persatuan Bolasepak Perak ( Pafa ), DatukZainol Fadzi Paharudin menyatakan bahawa pengguguran Akmal Rizal, Shafiq dan sebelas pemain lain dilakukan dengan teliti.


"Pihak pengurusan sudah mengambil kira sumbangan mereka sepanjang musim lalu sebelum membuat keputusan pengguguran tersebut,'' kata Zainol dalam sidang akhbar khas di pejabat Pafa di Ipoh kelmarin.
   
Beliau memberitahu bahawa Perak sedang berusaha membentuk sebuah pasukan yang mantap dengan wajah baru.


Dua penjaga gol utama, Mohd Nasril Mat Nourdin yang juga bekas penjaga gol kebangsaan dan penjaga gol kedua, Kamarul Efandi Abdul Rahim turut tersingkir daripada skuad musim depan.


Masalah kecederaan berpanjangan yang dialami oleh Mohd Khairi Zainuddin, Mohd Badrul Azam Mohd Zamri dan Chan Wing Hong menyebabkan khidmat mereka ditamatkan.

Begitu juga dengan pertahanan kental yang pernah mendapat jolokan Kereta Kebal Perak, K.Nanthakumar turut diketepikan.  


Selain itu, lima pemain tengah yang terdiri daripada Isma Alif Mohd Salim, Wan Hossen Wan Abdul Ghani, Mohammad Khalis Ibrahim, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri dan Fahrul Razi Kamaruddin turut digugurkan.


Zainol berkata, Perak mengekalkan sepuluh pemain musim lalu yang diketuai oleh Shahrulnizam Mustafa.


Selain itu, khidmat Muhammad Nazri Mohd Kamal dan Muhammad Rafiuddin Roddin di bahagian tengah masih diperlukan bersama-sama Shahrulnizam.


Lima pemain pertahanan yang dikekalkan terdiri daripada Muhammad Shahrom Abdul Kalam, Mohd Hisyamudin Mohamaed Shaari, Mohd Syazwan Mohd Roslan, Mohd Noor Hazrul Mohd Mustafa dan Mohamad Nasir Basharuddin.


Penyerang lincah, Mohd Failee Mohd Ghazali dan penjaga gol berbakat, Khairul Amri Salehuddin dikekalkan bagi musim 2013 akan datang.


Pafa mempelawa mana-mana bekas pemain Liga Super dari negeri lain untuk mengisi kekosongan skuad Seladang dengan menjalani ujian pemilihan pada 20, 21, 27 dan 28 Oktober depan.


Presiden Pafa memberitahu bahawa beberapa pemain ternama daripada  pasukan yang sedang beraksi dalam Piala Malaysia telah memberi persetujuan untuk beraksi bersama-sama skuad Seladang kelak.

-PerakNews

0 comments:

Advertise