Monday, August 6, 2012

Bekas Pengarah Peladang Perak sertai PAS

TELUK INTAN: PAS menerima seorang lagi tokoh bekas pegawai tinggi kerajaan apabila Bekas Pengarah Peladang Perak, Hj Azhar Yunus mengisytiharkan menyertai parti itu.

Pengisytiharan tersebut diadakan di Ceramah Badar Kubra Peringkat Negeri Perak yang dihadiri oleh Timbalan Presiden PAS, Hj Mohammad Sabu di Kg Bahagia, Teluk Intan, 5 Ogos lalu.

Beliau telah menjawat jawatan dalam kerajaan lebih 30 tahun dan kerap ditukarkan tempat berkhidmat.

Anak jati Teluk Intan itu juga pernah menjadi Pengarah Peladang di Negeri Sembilan dan Pahang.

Menurutnya, kemasukannya ke dalam PAS adalah kesedaran diri dan merasakan sudah tidak lagi dalam ‘kongkongan’ kerajaan.

“Kami pegawai kerajaan seolah-olah bayi yang dibedong kerana tidak bebas untuk memilih dan bergiat aktif dalam mana-mana parti serta pergerakan kami sentiasa diawasi,” katanya dalam ucapan sulungnya atas pentas PAS.

Katanya, ketika menjawat jawatan kerajaan, perkara serta masalah ketara yang dihadapi oleh pemimpin BN ialah membezakan kerajaan dan parti.

Ujarnya, mereka beranggapan kerajaan itu ialah BN dan ini menyebabkan petadbiran kerajaan dikuasai oleh pemimpin mereka.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, beliau pernah berkhidmat bersama kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang sempat memerintah 11 bulan dahulu dan merasakan kelainan serta kelebihan gabungan parti itu berbanding kerajaan BN.

“Sepanjang saya menjawat jawatan sebagai pengarah, belum pernah lagi solat berjemaah selepas perasmian Ekspo Peladang dan ini telah dilakukan oleh Pakatan Rakyat Perak yang dipimpin oleh Dato’ Seri Nizar Jamaluddin.

“Saya merasakan kelainannya dan sangat gembira serta bersemangat apabila bekerja dibawah pemerintahan Pakatan Rakyat,” jelasnya.

Katanya, hasrat kerajaan BN untuk ‘membirukan’ semua kakitangan kerajaan ternyata gagal apabila nama-nama besar telah memilih untuk menyertai PAS dan Pakatan Rakyat.

“Mereka yang masuk PAS semuanya berpelajaran tinggi, mereka dapat menilai mana yang baik dan berintegriti dan sudah pasti BN bukan pilihannya,” ujarnya.

Kemasukannya ke dalam PAS menambahkan lagi bilangan tokoh-tokoh bekas pegawai tinggi kerajaan ke dalam PAS daripada Perak selepas beberapa nama besar sudah mengisytiharkan sertai parti itu termasuklah Bekas Pengarah Pelajan Perak, Dato’ Adnan; Bekas Pegawai Tinggi TLDM, Laksamana Pertama Hj Imran Abdul Hamid dan ramai lagi.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk menerima undangan berceramah di seluruh Negara bagi memenangkan Pakatan Rakyat.

"Saya akan bersama-sama membantu dalam misi menawan Putrajaya dan saya sanggup untuk turun ke seluruh negara untuk bantu berkempen dan memberi ceramah kepada rakyat," jelasnya.

0 comments:

Advertise