Friday, July 13, 2012

Gadai tanah: Zambry masih menyepi

IPOH: PAS Perak kesal terhadap Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Zambry Abdul Kadir yang mengambil sikap berdiam diri sahaja berhubung pendedahan mengenai tanah seluas 511.43 ekar berhampiran dengan Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Batu Gajah yang dimiliki oleh Syarikat Maju Perak.

Jurucakap Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Negeri, Salman Saleh berkata, Adun Pangkor itu masih tidak memberi respon dan tiada sebarang jawapan daripadanya

“Kami mendesak agar Datuk Seri Zambry menjelaskan kedudukan status tanah yang dikatakan telah dijual dengan kadar rendah yang tidak mengikut harga pasaran semasa tersebut.

“Sedangkan kita semua maklum bahawa kedudukan tanah tersebut amat strategik daripada segi lokasinya dan sehingga kini yang masih tidak dibangunkan menjadi tanda tanya umum,” katanya kepada Harakah 13 Julai lalu.

Salman berkata, pihaknya berasa sangat pelik kerana Zambry sehingga kini masih tidak menjawab persoalan besar yang dibimbangi satu penjualan yang secara langsung merugikan Kerajaan Negeri Perak.

Ini kerana katanya Syarikat Maju Perak adalah anak syarikat kepada kerajaan negeri dan sebarang kurniaan tanah kepada anak syarikat kerajaan negeri bukanlah lesen untuk menjualnya dengan begitu mudah sahaja.

“Kami juga merasakan semua tuntutan yang telah kami kemukakan pada sidang media yang lalu dan telah memberikan tempoh kepada Datuk Seri Zambry menjelaskannya sehingga kini masih tidak kesampaian,” jelasnya.

Justeru, pihaknya mendesak agar membentuk satu jawatankuasa khas untuk menyiasat skandal ini kerana ianya adalah satu perkara yang besar.

“Satu jawatankuasa perlu di bentuk namun bukanlah dibawah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri kerana pengerusinya adalah Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar secara langsung terlibat,” ujar beliau.

Pada 4 Julai lalu, PAS Perak melaui Jawatankuasa Strategik dan Isu telah mendedahkan tindakan Kerajaan Negeri Perak melalui Syarikat Maju Perak Berhad menjual tanah seluas 511.43 ekar dengan harga yang terlalu murah iaitu RM68 ribu seekar sahaja berbanding harga semasa pasaran kira-kira RM200 ribu seeker di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Batu Gajah.

0 comments:

Advertise