Thursday, July 26, 2012

Bonus Raya: Perak wajar beri sebulan gaji

IPOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak meminta agar Kerajaan Negeri Perak untuk memberikan Bonus Hari Raya pada tahun ini kepada semua kakitangan awam negeri serta pesara-pesara negeri sebanyak sebulan gaji mengatasi jumlah RM500 atau setengah bulan sepertimana yang telah diberikan oleh Kerajaan Pusat.

Timbalannya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, sudah tiba masanya semua kakitangan awam negeri mendapat imbuhan Bonus Hari Raya yang lebih baik dan bersesuai dengan kos sara hidup yang menjadi kekangan mereka kini.

Menurutnya. Pemuda PAS berharap agar peningkatan berbanding tahun lepas dimana Menteri Besar, Dato’ Seri Zambry Kadir memberikan alasan untuk mengikut langkah yang sama diberikan oleh Kerajaan Pusat.

“Kami berharap kepimpinan Datuk Seri Zambry mengambil langkah berani sepertimana pemerintahan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dahulu di bawah kepimpinan Dato’ Seri Ir Nizar Jamaluddin yang pernah mencadangkan Bonus kepada kakitangan awam negeri berjumlah RM1,200,” katanya dalam satu kenyataan kepada Perakite Daily, hari ini.

Mengulas lanjut, Raja Ahmad berkata, oleh kerana diwaktu itu kemampuan Kerajaan Negeri hanya berjumlah RM1,000 sahaja, Dato’ Seri Nizar Jamaluddin mengharapkan akan ada peningkatan untuk tahun hadapannya bagi memastikan keperluan semua kakitangan awam negeri terbela.

“Datuk Seri Zambry perlu membuktikan bahawa Kerajaan Negeri di bawah kepimpinannya benar-benar berjaya diurus dengan baik dan berjaya melonjakkan ekonomi yang membanggakan.

“Jika imbuhan Bonus Hari Raya hanya mampu ‘mengikut’ langkah Kerajaan Pusat, rakyat Perak sewajarnya boleh menilai sendiri keberkesanan urus tadbir yang lebih baik berbanding Datuk Seri Zambry atau Datuk Seri Nizar sebenarnya,” ujarnya.

Justeru, Naib Ketua Pemuda PAS Pusat itu mengharapkan Dato’ Seri Zambry segera mengumumkan pemberian imbuhan Bonus Hari Raya ini selewat-lewatnya minggu hadapan ketika Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.

0 comments:

Advertise