Monday, April 9, 2012

Pune FC enggan lepaskan Keita awal?

Keita MandjouUrusan pengambilan penyerang Pune FC, Kieta Mandjou mungkin belum selesai menyebabkan Perak terpaksa menggunakan tenaga bekas penyerang remaja Serbia, Lazar Popovic dalam tiga perlawanan Liga Super akan datang.

Pengurus Pasukan, Khairul Azwan Harun berkata, Popovic masih bersama-sama skuad Seladang buat sementara waktu sehingga terdapat penggantinya.

Sebelum ini, Perak dikatakan akan menamatkan kontrak Popovic pada 1 April setelah gagal menjaringkan sebarang gol dalam 13 perlawanan Liga Super termasuk dua perlawanan Piala FA.

Skuad Seladang itu mungkin melewatkan penamatan kontrak Popovic kerana kedudukan Keita belum dapat diputuskan.

Perak akan berdepan Kuala Lumpur di Ipoh pada hari Sabtu ini, sebelum bertandang ke Stadium Jalan Besar, Singapura untuk berdepan Lions XII pada 10 April depan.

Perak selepas itu akan berdepan dengan Sabah di Stadium Likas pada 14 April depan.

Khairul Azwan menyerahkan tugas samada Popovic disenaraikan dalam skuad Seladang dalam ketiga-tiga perlawanan tersebut kepada jurulatih, Norizan Bakar.

Walau bagaimanapun, Azwan tetap menegaskan bahawa Popovic tetap akan digantikan dengan seorang pemain baru dan akan pulang ke Serbia pada akhir bulan April ini.

Pengurus Pasukan itu tidak menyatakan nama pemain pengganti tersebut walaupun bekas penyerang Perak, Keita Mandjou disebut-sebut mengisi kekosongan berkenaan.

Sebelum ini, Norizan bersama-sama Naib Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Khairuddin Ahmad dan penolong pengurus, Ahmad Shahrul Azhar Sofian ke India untuk berbincang dengan pihak pengurusan Keita Mandjou minggu lalu.

Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin mengesahkan pemergian ketiga-tiga individu tersebut bagi mendapatkan khidmat Keita.

Berdasarkan blog kelab Pune FC, kelab berkenaan masih mempunyai tiga perlawanan terakhir yang perlu disertai oleh Mandjou.

Oleh itu, kemungkinan kelab berkenaan enggan melepaskan Keita sehingga tamat musim yang mana Pune PC sedang bersaing sengit di tangga ketiga Liga India (I-League).

Pune mengutip 40 mata daripada 22 perlawanan di belakang Dempo SC (47 mata) di tangga pertama dan KF East Bengal (41 mata) di tangga kedua.

Pune akan berdepan Salgaocar SC (5 April), HAL SC (10 April) dan Churchill Bros (15 April) yang mana ketiga-tiga perlawanan tersebut dianggap penting bagi menentukan kedudukan terakhir kelab berkenaan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuka tingkap perpindahan pemain mulai 2 April hingga 16 April depan.

Apakah Keita akan beraksi dengan skuad Seladang setelah tugasnya di Pune FC tamat pada 15 April depan?.

Jawapan berkenaan hanya boleh dijawab oleh PAFA tetapi mereka masih membisu mengenai kedudukan pengganti Popovic.

Artikel asal di PerakNews.

0 comments:

Advertise