Saturday, April 21, 2012

Hidup Mati Umno bergantung kepada Media



BATU GAJAH: Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu mendakwa faktor utama BN dapat kekal berkuasa lebih 50 tahun adalah disebabkan oleh bantuan daripada media.

Menurutnya, keadaan media di Negara ini yang ternyata tidak bebas dan ‘berat sebelah’ menyebabkan BN dapat mempengaruhi serta memesongkan pemikiran rakyat.

“Rakyat di Malaysia diperbodohkan dengan agenda buruk BN yang menguasai media di negara ini seterusnya dapat mempengaruhi rakyat untuk terus memberi sokongan kepada mereka ,” katanya dalam Ceramah Pelancaran Pra Bersih 3.0 peringkat Negeri Perak di Tronoh, Batu Gajah dekat sini kelmarin.

Katanya, BN tidak akan dapat berkuasa lebih 50 tahun seperti sekarang jika media di Negara ini telus dan adil.

Mohamad Sabu menjelaskan, BN tidak berani memberi ruang kepada pimpinan Pakatan Rakyat untuk menjelaskan sesuatu isu dan mengemukakan tawaran Pakatan Rakyat di media bahkan berita yang keluar mengenai Pakatan Rakyat semuanya berbentuk tuduhan, penipuan dan fitnah.

“BN tahu, jika kami dalam Pakatan Rakyat diberi ruang dalam media, nescaya rakyat akan mengetahui perkara sebenar sehingga menyebabkan kedudukan mereka tergugat,” jelasnya.

Ini katanya dapat dibuktikan oleh Negara Myanmar yang memberi ruang kepada Ketua Pembangkang, Aung San Suu Kyi untuk berceramah di televisyen dan radio.

Dengan ruangan yang diberikan kepada pemimpin wanita tersebut, Liga Kebangsaan Bagi Demokrasi memenangi 43 daripada 45 kerusi parlimen yang ditandingi dalam pilihan raya kecil baru-baru ini.


“Najib puji dengan perubahan kebebasan media di Myanmar semasa melawat Negara itu, tetapi dia tidak laksanakan di Negara sendiri,” ujar bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah itu.

Tambahnya, ketelusan serta kebebasan media amat penting dalam sistem demokrasi dan ini antara salah satu daripada 8 tuntutan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH).

“Justeru saya menyeru rakyat agar turun ke Himpunan Bersih 3.0 nanti bagi menunjukkan isyarat kepada kerajaan bahawa rakyat mahukan sistem pilihanraya bersih dan adil,” ujar beliau.

Lebih 3000 hadir dalam pelancaran tersebut yang turut dihadiri oleh Adun Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim; Adun Teja, Chang Lih Kang; dan Adun Tronoh, V Sivakumar.

0 comments:

Advertise