Wednesday, March 28, 2012

‘Perakite’ pendekatan PAS ‘tawan’ kembali Perak


IPOH: PAS Perak kini sedang membuat persediaan rapi dalam merealisasikan azam mengembalikan semula tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri Perak kepada Pakatan Rakyat .
Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussien berkata, pelbagai strategi dan pendekatan sudah dan akan diatur untuk memperkukuh sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat khususnya PAS.

Katanya, PAS kini sedaya upaya berusaha agar rakyat khususnya orang melayu agar terus memberikan sokongan penuh kepada perjuangan PAS.

“Kini saya melihat masyarakat bukan Islam turut yakin dengan agenda perjuangan PAS yang jelas mahukan sebuah negara yang adil dan berkebajikan dan ini satu fenomena yang mengembirakan PAS,” katanya kepada Harakah 17 Februari lalu.

Tambahnya, situasi terkini di Perak amat memberangsangkan jika dilihat dengan kehadiran luar biasa rakyat di program-program yang dianjurkan PAS ketika ini.

“Saya melihat semua ini adalah suatu isyarat positif PAS Perak untuk meneruskan perjuangan bagi mengangkat mandat rakyat dalam PRU13 ini,” ujar beliau.

PAS Perak katanya, kini sedang membuat pendekatan baru dengan membuat penjenamaan kempen dengan melancarkan slogan terbaru iaitu Perakite: Rakyat Sepakat Perak Berkat.

Menurutnya, slogan ini bertujuan untuk membina momentum kerja seluruh petugas parti bagi menghadapi PRU13 dan memfokuskan usaha penerangan ke seluruh negeri Perak.

Pendekatan baru ini juga bertujuan mewujudkan gelombang semangat rakyat dan petugas parti untuk mengembalikan kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat di negeri Perak.

“Kini kami di Perak sedang menggerakkan program bagi meneruskan gelombang penolakan BN bagi menawan semula negeri Perak dengan memperkenalkan slogan Perakite.

“Kami telah menjelajah ke seluruh negeri Perak khususnya kawasan yang ditandingi oleh PAS dengan menyusun pelbagai program bersama rakyat dengan tujuan untuk membawa aspirasi dan harapan mereka untuk merubah kepimpinan yang lebih telus dan adil,” ujar beliau.

Tambahnya, PAS Perak telah membuat persiapan yang rapi dalam menghadapi PRU13 yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

“Bilik Gerakan Jentera Pilihan Raya PAS di setiap kawasan sudah mula beroperasi dengan aktif , walaupun kita tidak tahu tarikh pilihanraya, tetapi saya yakin dengan senario politik masa ini, membuatkan Perdana Menteri Malaysia akan umumkan tarikh pilihanraya pada bila-bila masa sahaja.

“Saya juga melihat kini, culaan dari rumah ke rumah yang dijalankan oleh jentera kebanyakannya telah selesai namun saya selalu mengingatkan agar sentiasa di buat semakan dari semasa ke semasa kerana dibimbangani nama-nama pengundi di pindahkan oleh pihak SPR yang sedang menggila dengan memberi kerjasama dengan BN untuk memastikan mereka menang dalam PRU13 walaupun terpaksa dilakukan dengan berbagai cara,” jelas beliau.

Selain itu, Dewan Ulama’ dan lujnah Tarbiyyah PAS Perak sentiasa mengingatkan semua petugas parti agar sentiasa memikul amanah ini dengan penuh tanggungjawab dan rasa berdosa dalam diri jika tidak melaksanakan tugas ini dengan sebaiknya kerana kerja yang dilakukan dalam PAS adalah satu kesinambungan daripada Nabi Muhammad SAW untuk mempertahankan kemenangan Islam.

Beliau menyeru kepada jentera parti disemua peringkat agar memperbanyak program-program serta memperkemaskan lagi jentera parti dalam situasi bahang PRU13 ketika ini.

“Saya berharap peristiwa hitam 6 Februari 2009 iaitu tragedi rampasan kuasa secara zalim oleh BN dahulu akan terus terpahat dalam ingatan dan berharap jentera perlu bekerja keras untuk mengembalikan semula pemerintahan negeri Perak kepada Pakatan Rakyat, “ katanya.

0 comments:

Advertise