Tuesday, September 4, 2012

Berapa kos untuk iklan di jersi Bolasepak Perak?

POH: PAS Negeri Perak cukup kesal di atas peranan yang sepatutnya dimainkan oleh Institut Darul Ridzuan (IDR), sebuah agensi Kerajaan Negeri Perak yang berfungsi sebagai 'think tank' kepada kerajaan negeri terutamanya bagi peningkatan ekonomi negeri yang diberikan peruntukan kewangan oleh kerajaan negeri seolah-oleh hilang fokus peranan utamanya sebenarnya.

Koordinator Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, pelaburan IDR yang tidak menguntungkan seperti pengiklanan logo ‘Perak Aman Jaya’ di jersi pemain Pasukan Bola Sepak Perak bagi saingan Piala Malaysia tahun ini.

Menurutnya, PAS mempersoalkan berapakah kos yang disalurkan oleh IDR untuk mengiklankan jersi pemain tersebut.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia berkata, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melupuskan hutangnya dengan Persatuan Bolasepak Negeri Perak (PAFA) berjumlah RM 800,000 dengan meletakkan logo MBI di hadapan jersi pada tahun lalu.

“Ini bermakna kemungkinan kos yang disalurkan oleh IDR mencecah RM800,000,” katanya.

Raja Ahmad berkata, PAS melihat kini IDR seolah-olah hilang fokus dalam meletakkan keutamaan disetiap pelaburan serta perancangannya bagi meningkatkan imej dan kebanggaan rakyat terhadap Negeri yang dicintai.

“Kami merasakan fungsi dan peranan IDR semakin meleset dan jauh seolah-olah projek dan programnya lebih bersifat 'popularis' dan tidak mempunyai daya intelek dan daya saing.

“Sewajarnya IDR yang sedia ada berperanan untuk memajukan negeri berdasarkan kajian saintifik yang wajar bukan seperti hasil strategi terkininya iaitu mempopularkan logo Aman Jaya sebagai strategi untuk memajukan Perak,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, suasana suram Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak tahun ini sangat menyedihkan dan salah satu sebabnya ialah kurangnya Kempen Kibarkan Jalur Gemilang.

"Tahun sebelum ini, kita boleh melihat sumbangan khas Jalur Gemilang kenderaan diserahkan oleh Kerajaan Negeri Perak tetapi pada kali ini tidak pula diberikan dan kemungkinan tiada peruntukan selepas melabur besar untuk iklankan logo Perak Aman Jaya di jersi skuad Seladang," jelasnya lagi.

0 comments:

Advertise