Friday, January 10, 2014

Buat laporan Polis, risau pertumpahan darah

Buat laporan Polis, risau pertumpahan darah

LENGGONG: Dewan Pemuda PAS Lenggong membuat laporan polis berhubung kenyataan berbaur hasutan yang dikeluarkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang mendakwa peserta Himpunan Turun adalah bughah dan halal darah mereka.

Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Lenggong 7 Januari lalu.

Menurut Ketua Dewan Pemudanya, Ustaz Muhammad Rifaat Razman Al-Hafiz, pihaknya membuat laporan polis kerana berpendapat kenyataan dikeluarkan oleh Harussani tidak tepat dan dibimbangi akan menyebabkan berlakunya pertumpahan darah keatas rakyat dan umat Islam di Negara ini.

"Kenyataan beliau (Harussani) itu tidak betul kerana perhimpunan yang diadakan itu adalah perhimpunan aman yang dijamin oleh perlembagaan Persekutuan menurut perkara 10 akta himpunan aman. 

"Dan sepatutnya kedudukan beliau sebagai seorang mufti yang dihormati lebih berhati-hati ketika mengeluarkan sebarang kenyataan umum," katanya.

Jelas beliau, Pemuda PAS sangat khuatir mengenai kenyataan dikeluarkan mufti itu akan menyebabkan masyarakat salah tafsir bahawa ianya adalah fatwa daripada seorang mufti.

Rifaat berkata, ianya boleh memberikan kesan buruk kepada kepada masyarakat dan rakyat di negara ini untuk melakukan pembunuhan dan pertumpahan darah serta menimbulkan ketegangan kepada orang-ramai. 

Sedangkan kata beliau, tidak ada mana-mana peruntukan undang-undang di ngara ini yang boleh mengambil nyawa seseorang seperti itu.

"Kami laporkan ini demi kepentingan dan keselamatan rakyat yang rasa tidak berpuas hati dengan mengadakan himpunan aman berikutan kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup pada malam itu. 

"Kami menyuarakan kebimbangan berlakunya kejadian buruk diatas kenyataan berbaur hasutan dikeluarkan oleh beliau untuk menimbulkan suasana tidak aman di Negara ini," tegasnya.

Jelasnya, PAS meminta pihak polis membuat siasatan segera bagi meredakan keresahan orang-ramai pada ketika ini.

3 comments:

Sokong tindakan Pemuda PAS Lenggong.Sepatutnya tindakan yang sama diambil oleh seluruh Pemuda PAS Perak malah Pemuda PAS Pusat sebagai tanda solidariti membantah kenyataan Mufti itu.Nampaknya Pemuda gagal mengembelingkan usaha dan tenaga dalam isu ini.Syabas kepada Pemuda Lenggong!

Advertise