Tuesday, November 26, 2013

Roboh: Adun Sungai Rapat, Pasir Pinji tinjau setinggan



IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rapat, Ustaz Radzi Zainon bersama Adun Pasir Pinji, Lee Chuan How turun padang meninjau kehidupan penduduk perkampungan setingan di Sri Keramat, Sri Murni dan Tok Cendang pada 15 November lalu.

Lawatan bersama tersebut bertujuan untuk memahami dengan lebih dekat perkembangan dan kemajuan penempatan semula bekas penghuni kampung-kampung setinggan tersebut seramai kira-kira 300 orang.

Penduduk sekeliling kampung-kampung setinggan tersebut telah menerima surat arahan untuk mengosongkan kediaman mereka dalam tempoh sebulan untuk membuka ruang kepada pemaju menjalankan perobohan.  

Ia difahamkan bahawa tapak ketiga-tiga kampung telah diluluskan kepada sebuah syarkat untuk tujuan pembangunan taman perumahan.  

Ustaz Radzi Zainon berkata, kawasan tiga kampung berkembar yang berkeluasan 84 ekar itu sangat strategik di tengah-tengah kawasan pembangunan baru Station 18 dalam Bandaraya Ipoh.

Oleh itu katanya, ia menjadi kawasan hartanah bernilai tinggi dan sebagai penyelesaian serta rancangan penempatan semula, para penghuni telah diberi tawaran satu lot tanah gantian bergeran.

"Namun nasib bekas penghuni setinggan terus tidak menentu kerana untuk mendapatkan satu lot tanah, mereka terpaksa menyediakan hampir RM10,000 untuk penyediaan tapak dan bayaran premium.

"Tambahan pula tapaknya jauh lebih kecil daripada yang dijanjikan, iaitu hanya berkeluasan 45 kali 70 kaki sahaja, sedangkan yang dipersetujui bersama-sama pada asalnya 50 kali 80 kaki.

"Ada pula yang berkemampuan untuk membayar premium tanah, melalui pinjaman peribadi, tetapi tidak dilayan oleh bank dan institusi kewangan untuk mengambil pinjaman pembinaan rumah, sedangkan usia mereka sudah lanjut atau pendapatan rendah," katanya kepada Harakah,

Radzi menjelaskan, ada yang menghuni di situ telah melebihi 30 tahun, namun semasa zaman Pakatan Rakyat mentadbir Kerajaan Negeri Perak, nasib mereka diambil peduli.

Pada ketika itu jelasnya, Menteri Besar, Datuk Seri Nizar telah berkesempatan melawat kampung-kampung berkenaan dan memberi komitmen untuk membantu menyelesaikan masalah mereka namun kerajaan Pakatan Rakyat tidak bertahan lama dan tidak sempat untuk membantu masyarakat disitu.

"Bagi golongan yang telah lanjut usia dan tidak berkemampuan, mereka mungkin ‘terpaksa’ melupakan angan-angan dan cita-cita untuk mendapat sekeping tanah bergeran di situ walaupun telah hidup dan turut membesarkan anak-anak mereka di kampung setinggan itu sejak sekian lama," jelasnya lagi.

Radzi menggesa pihak kerajaan dapat membuat sesuatu bagi membela nasib yang dihadapi oleh penduduk yang terlibat.

Beliau bersama pimpinan Pakatan Rakyat yang lain katanya akan membawa isu ini ke Dewan Undangan Negeri yang akan bersidang tidak lama lagi.

2 comments:

Advertise