Thursday, February 28, 2013

Adun 'katak' tidak diperlukan lagi

Jawatankuasa Strategik dan Isu Badan Perhubungan PAS Negeri Perak dimaklumkan oleh ‘sumber’ dalaman Umno Negeri Perak bahawa Barisan Nasional (BN) Negeri Perak tidak akan menyenaraikan semula Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bebas yang telah ‘melompat parti’ di DUN Kawasan Behrang, Changkat Jering dan Jelapang. Umum mengetahui hanya ADUN yang telah ‘melompat parti’ di DUN Malim Nawar sahaja yang telah bersama dengan salah satu Komponen BN Perak iaitu Keshvinder Singh yang sudah bersama Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP).

Dimaklumkan bahawa Keshvinder akan bertanding di DUN Malim Nawar sekali lagi atas tiket BN sepertimana yang telah dimaklumkan oleh Datuk Seri Dr. M. Kayveas, Presiden PPP yang juga Pengerusi PPP Negeri Perak bahawa PPP akan meletakkan seorang calon di Perak. Umum juga mengetahui dengan kenyataan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, Presiden MCA yang juga Pengerusi MCA Negeri Perak bahawa kerusi DUN Jelapang tidak diberikan kepada Datuk Hee Yit Foong dan beliau bukannya calon bagi mewakili MCA nanti. Ini kerana Datuk Hee tidak menyertai MCA sehingga kini dan MCA akan meletak calon baru di DUN Jelapang pada PRU 13 nanti.

Bagi kerusi DUN Behrang dan Changkat Jering, Jamaluddin Mohd Radzi dan Kapten (B) Mohd Osman Mohd Jailu juga masih tidak menyertai mana-mana Komponen BN termasuk Umno. Persoalan timbul, kenapa mereka masih tidak bersama BN? Adakah Umno ada calon mereka sendiri yang menyebabkan mereka diketepikan? Adakah kerana imej ‘rampasan kuasa’ BN antara faktor mereka diketepikan dan tidak diperlukan lagi? Bagi kami rakyat akan menilai keputusan BN bagi menetapkan kerusi-kerusi mereka yang masih ‘carca merba’ sehingga kini.

 

DR RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS
Koordinator,
Jawatankuasa Strategik dan Isu,
Badan Perhubungan PAS Negeri Perak.

0 comments:

Advertise