Wednesday, September 5, 2012

Kos bina, baiki rumah program IBU mencurigakan

IPOH: PAS Negeri Perak menggesa Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat tentang ketelusan kewangan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR).

Koodinator Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak, Salman Saleh berkata, ini berikutan kos baikpulih dan pembinaan rumah dalam Program Infra Bina Upaya (IBU) sangat mencurigakan.

Katanya, peruntukan awal daripada Bajet Kerajaan Negeri Perak sebanyak RM 4 Juta dan difahamkan peruntukan tambahan sebanyak RM 2 juta telah diberikan untuk program tersebut.

Menurut Salman, kenyataan Pengerusi YBUDR, Datuk Saarani Mohamad ketika pelancaran Skim Rumah Insan Amanjaya (SRIA) baru-baru ini berkata, kos pembinaan 227 buah rumah setiap satunya bernilai RM35,000, manakala sejumlah 285 buah rumah turut berjaya dibaikpulih membabitkan kos lebih RM 13 juta.

“Jika dibandingkan kos tersebut, sebenarnya kos baikpulih telah menelan satu belanja yang terlalu besar iaitu RM 45,614.035 sebuah sedangkan polisi bagi tujuan baikpulih YBUDR hanya diperuntukan RM15,000 sebuah sahaja,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Pemuda PAS Negeri berkata, persoalan timbul apabila berlaku pencanggahan kos baikpulih rumah yang telah dilaksanakan oleh yayasan tersebut.

“Sekiranya 285 buah rumah telah dibaikpulih dengan peruntukan dari YBUDR tidak melebihi RM 15,000 setiap satu maka jumlah keseluruhannya ialah RM 4.275 juta.

Kami sangsi dimana berlakunya ketirisan sebanyak RM 8.725 juta,” ujar beliau.

Justeru, beliau merasakan banyak persoalan sebenarnya telah berlaku dengan program tersebut yang perlu dijelaskan dengan segera.

“Kami menggesa SPRM menyiasat butiran tersebut kerana ianya membabitkan kewangan rakyat dan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Zambry perlu memberi penjelasan agar rakyat mengetahui perkara sebenar,” tegas beliau.

Tambahnya, penilaian ini berasas kerana YBUDR adalah badan berkanun kerajaan negeri yang tidak dilaporkan kewangannya kepada Ketua Audit Negara bagi menilai pengurusan kewangan yang sebenar untuk tatapan umum.

0 comments:

Advertise