Thursday, July 18, 2013

Elektrik: PAS realisasikan impian penduduk



PARIT BUNTAR, 17 Julai : Penantian sebuah keluarga di Kampung Bagan Tiang, di sini mendapat bekalan elektrik sejak 25 tahun lalu berakhir apabila kerja penyambungan utiliti itu dilaksanakan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Penerima bantuan, Azehar Yusof,49, berkata, dia bersama isteri dan tiga anak kini sudah boleh menikmati kemudahan bekalan elektrik sebagaimana penduduk lain setelah Pas kawasan Parit Buntar tampil memikul tanggungjawab menyumbang dana bagi membiayai kos pemasangan.
Menurutnya, sebelum ini dia mendakwa keluarganya hanya menggunakan lampu pelita dan keadaan itu menyukarkan anak-anaknya mengulang kaji pelajaran.
 
“Rumah ini adalah rumah milik abang yang ditumpangkan kepada kami.
“ Sebelum ini, saya bekerja kampung untuk menyara keluarga. Bagaimanapun, masalah kesihatan yang dialami saya sejak beberapa tahun lalu menyebabkan kehidupan kami semakin melarat sehingga tidak mampu membiayai kos pemasangan bekalan elektrik,”katanya.
Azehar berkata, dia sekeluarga berterima kasih di atas keprihatinan Pas Parit Buntar yang sanggup menanggung kos pemasangan bekalan elektrik bernilai RM700.
Menurutnya, kemudahan bekalan elektrik yang diperoleh membolehkan isterinya merancang mengambil upah menjahit bagi menampung keperluan seharian keluarga.
Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Parit Buntar, Hamdan Fadel Ahmad berkata, Pas berjanji akan terus berkhidmat kepada rakyat bagi memastikan hak dan kepentingan mereka dipelihara.

Saran pemimpin tingkat kerjasama dengan TNB
TNB menyarankan pemimpin masyarakat meningkatkan kerjasama dengan syarikat itu untuk menyalurkan maklumat mengenai penduduk yang belum menikmati kemudahan bekalan elektrik.
Pengurus Pemasaran dan Perkhidmatan Pelangan TNB Perak, Lily Suriani Shafiei menegaskan bahawa, jalinan kerjasama itu amat penting bagi memastikan tiada rakyat terpinggir dari menikmati kemudahan yang disediakan TNB.
Menurutnya, pada zaman ini bekalan elektrik merupakan keperluan asas dan kemestian kepada setiap penduduk dan keciciran mana-mana penduduk daripada menikmati kemudahan berkenaan boleh dianggap sesuatu yang pelik.
“TNB akui masih ada segelintir rakyat di Perak belum menikmati bekalan elektrik kerana pelbagai factor. Kerjasama wakil rakyat dan pemimpin masyarakat sangat penting dalam menyalurkan maklumat kepada kami bagi memastikan keperluan penduduk dipenuhi secepat mungkin.
“Sehingga kini kami telah kenal pasti hampir keseluruhan rakyat Perak sudah terima bekalan elektrik. Sekiranya masih ada kawasan belum disediakan kemudahan itu, ia disebabkan beberapa prosedur yang tidak dapat dipenuhi penduduk terbabbit, “ katanya pada sidang media di Kampung Sungai Betul, Bagan Tiang .
Hadir sama, Pengurus TNB Kawasan Bagan Serai, Mohd Shukri Mohd Said, Pengurus TNB Kawasan Taiping, Mohd Rohaizan Shamsudin dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Parit Buntar, Hamdan Fadel Ahmad.
Dalam pada itu, Lily Suriani menjelaskan selain perkhidmatan pemasangan bekalan elektrik, TNB turut menyediakan pelbagai bantuan kemasyarakatan bagi golongan memerlukan seperti bantuan baik pulih rumah di bawah program Baitul Jannah.
Katanya, mana-mana pihak layak mengemukakan permohonan kepada TNB sekiranya memenuhi syarat ditetapkan syarikat itu serta dikenalpasti golongan berpendapatan rendah.
“TNB telah bina baru dan baik pulih banyak rumah penduduk di Perak dan kami jangka program tanggungjawab sosial korporat ini akan diperhebat dengan kerjasama daripada pemimpin setempat.
“ Saya puji inisiatif Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Buntar yang bertindak proaktif dengan membiayai kos pemasangan pendawaian dalaman rumah seorang penduduk, Azehar Yusof, 49,” katanya. Sinar Harian

3 comments:

Advertise