Thursday, August 9, 2012

KISDAR Kritikal : Kerajaan Perak gagal!


Badan Perhubungan PAS Negeri Perak mendapat maklumat bahawa Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR) sebuah kolej milik penuh Kerajaan Negeri Perak kini mengalami masalah kewangan yang kritikal walapun dalam masa yang sama telah menaiktarafkan ianya menjadi Kolej Universiti Sultan Azlan Shah (KUISAS) baru-baru ini. Pada hakikatnya, Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir masih belum mampu memastikan taraf KISDAR untuk menjadi Kolej Universiti berikutan kepincangan masalah kewangan sebenarnya.

Berikutan menaiktarafkan KISDAR kepada KUISAS, kos operasi yang amat tinggi terpaksa diselenggara kini. Persoalan timbul tentang penganugerahan tanah hampir 3,000 ekar kepada KISDAR bagi tujuan menjana kewangannya, apakah yang telah berlaku? Sehingga kini, kos bayaran kakitangan KISDAR sudah mencecah RM 1 Juta sebulan dan kos ini tidak termasuk kos pembangunan akademik serta pelajar dan juga kos penyelenggaraan operasi KISDAR. Kami turut difahamkan bahawa penambahan kos gaji kakitangan berlaku disebabkan kemasukan kakitangan pentadbiran secara ‘melampau’ dan juga berlebihan.

Ianya seperti tiada perancangan rapi di dalam memastikan pengurusan utama KISDAR menilai semua permohonan kakitangan yang sewajarnya dan layak bagi mengisi kekosongan tersebut. Ini termasuk telah melantik beberapa pegawai utama tanpa ada satu penilaian dan kelayakan bagi memastikan pengurusan KISDAR untuk mampu dinaiktaraf sepenuhnya. Kami juga melihat kegagalan ini dengan pemotongan permohonan peruntukan yang dikemukakan oleh KISDAR menampakkan lagi kepincangan dalam menguruskan KISDAR. Malah difahamkan akibat daripada permotongan peruntukan tersebut akan menyebabkan gaji kakitangan KISDAR hanya mampu dibayar sehingga September atau Oktober sahaja.

Kami sangsi kemampuan Datuk Seri Zambry di dalam memastikan satu-satunya Kolej di bawah Kerajaan Negeri Perak akan berjaya dinaiktaraf sepertimana pengharapan Seri Paduka Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dalam titah-titah baginda sebelum ini terhadap pengharapan terbentuknya KUISAS di Negeri Perak. Kami bersedia menjayakan misi menaiktarafkan KISDAR demi rakyat dan masyarakat Islam yang inginkan mercu kebanggaan rakyat Perak ini dipulihkan dengan segera!

DR RAJA AHMAD AL-HISS
Koordinator,
Jawatankuasa Isu dan Strategik,
Badan Perhubungan PAS Negeri Perak.

0 comments:

Advertise